Wednesday, January 12, 2011

Si Semut Kecil ~





Kita seringkali terdengar perumpamaan rajin seperti semut, tetapi tahukah kita kenapa wujud perumpamaan sedemikian ? mungkinkah ada perumpamaan lain yang juga sesuai untuk semut?
Semut, makhluk Allah yang kecil, tetapi kecilnya seperti cili padi, pedas dan confirm berasap? kenapa ya?

Kalau kita perhatikan semut, semut akan selalu berusaha secara berulang-ulang dan terus menerus sehingga ia berjaya mencapai matlamat yang digenggam.
Analogi yang diberikan cukup mudah. Bayangkan kalau ada cebisan makanan di lantai, dan cebisan itu saiznya jauh lebih besar daripada si semut, tetapi pernahkah nampak semut tidak mengerumuni cebisan makanan itu? Tidak bukan? Semut akan berusaha mengangkut cebisan makanan itu ke sarangnya sedikit demi sedikit sehinggalah habis.

Andai dalam perjalanan mengangkut cebisan makanan itu terhalang, semut akan berusaha sedaya upaya dan memilih jalan yang lain mungkin ke kiri dan mungkin juga ke kanan sehinggalah matlamatnya untuk mengangkut cebisan makanan tersebut ke sarangnya tercapai.
kadang-kadang jalan yang dilalui si semut itu terhalang dek air, maka ia bersama kawan-kawannya saling berkerja sama membuat jambatan. Jika semut-semut yang lain sudah menyeberang, maka semut-semut yang membentuk jambatan akan merapat ke tepi.
SubhanAllah, Indahnya ciptaan illahi :)

Hakikatnya, semut mempunyai kekuatan yang luar biasa dalam mewujudkan tekadnya untuk meraih apa yang diinginkan malahan ia tidak pernah kenal erti penat mahu pun lelah.
Sebagai perkongsian cerita, pada suatu masa dahulu ada seorang arab badwi pergi merantau kerana sesuatu keperluan. Dia merasa sangat letih dan penat serta berputus asa. Maka ia terduduk dan berfikir untuk kembali lagi. Kemudian dia melihat seekor semut yang merangkak naik ke atas batu besar, namun semut tersebut jatuh dan semut itu terus merangkak naik lagi ke atas batu besar itu berulang-ulang kali.
Setelah mencuba, akhirnya semut itu berjaya menaiki batu besar itu . Melihatkan situasi tersebut, si arab badwi itu berkata " Saya sepatutnya bersabar dan berusaha keras lebih daripada semut tersebut."
Akhirnya si arab badwi itu meneruskan perjalanannya dan berjaya sampai ke tempat yang ditujunya dan dia berkata "Cari dan raih , jangan pernah berkeluh kesah dan bosan dari usaha meraih apa yang kamu inginkan. Kerana penyakit orang yang ingin mencari dan meraih sesuatu adalah bosan."

Hebatkan si kecil bernama semut?

Terdapat kajian yang dijalankan menunjukkan semut mengumpulkan makanannya dari musim panas sehinggalah ke musim sejuk. Oleh sebab semut tidak banyak keluar pada musim sejuk, maka makanan yang telah dikumpul hanya di makan apabila tiba musim sejuk ini.
Cara semut untuk memastikan makanan yang disimpan itu kekal elok, maka dengan kuasa illahi semut tersebut akan membelah ditengah biji bijian itu di tengah bagi memastikan makanan itu tahan lama.
Semut mempunyai sifat cekal dan kesabaran yang tinggi malahan kita wajar mengambil iktibar darinya. Malah seandainya anda meletakkan sebuah batu ditengah-tengah jalan yang digunakan oleh kawanan semut, mereka tidak berundur sebaliknya mencari jalan lain dan berusaha sehingga matlamat itu tercapai.

Untuk berjaya bukanlah mudah, ianya perlu menghadapi rintangan dan halangan dengan penuh sabar dan tawakkal kepada Tuhan. Bak kata pepatah, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian... Semoga berjaya (",)


Wednesday, January 5, 2011

Katakan TIDAK Kepada Putus Asa !

JOM BACA !

Kegagalan seakan satu perkara yang telah sebati dengan kehidupan setiap insan.
Namun, tiap kali kegagalan itu berlaku, ketabahan dan penerimaan masih tiada.
Pasti akan disusuli dengan kekecewaan
Sedangkan ini adalah perkara lazim dalam kehidupan.
Setiap kali kegagalan itu bertandang, terlalu sukar untuk diterima oleh hati.
Ada saja persoalan yang ditimbulkan mempertikaikan kegagalan yang diperoleh.
Kegagalan itu membawa kepada rasa putus asa dalam diri.
Namun, ingin saya bertanya, adakah berputus asa itu satu perkara yang wajar dilakukan jika kita berhadapan dengan kegagalan?
Sedangkan, kegagalan bukanlah penghujung kepada kehidupan dan 'jalan mati' kepada kejayaan.
Seperti yang selalu kita dengar, ramai yang berjaya selepas menemui kegagalan.
Dan kegagalan itu yang membuatkan seseorang lebih matang dan berhati-hati dalam menyusun perjalanan kehidupan.
Pernahkah anda berdepan dengan rasa putus asa?
Setelah berbagai-bagai rintangan dan dugaan anda tempuhi, tetapi dipatahkan dengan rasa putus asa yang tiba-tiba melintas di fikiran.
Bukankah itu membuatkan anda berada dalam kerugian.
Setelah masa dan kudrat habis pada sesuatu perkara, dengan mudah rasa menghasut dan menggagalkan apa yang diusahakan selama ini. Jadi, adakah segalanya berbaloi?
Lawan Perasaan Putus Asa
Paling penting adalah untuk menghadapi rasa putus yang datang.
Bukan takut kepada kegagalan kerana tanpa kita sedari, putus asa ialah punca kepada kegagalan.
Bukan kegagalan punca kepada timbul rasa putus asa.
Kesilapan sering terjadi di situ.
Putus asa juga bukan satu sikap yang baik untuk mereka yang bergelar pelajar.
Kerana, dalam dunia sebagai seorang pelajar terlalu banyak dugaan dan kepayahan yang akan ditempuh.
Hanya terletak kepada mereka yang mengidamkan kejayaan yang akan terus mempertahankan kekebalan semangat mereka tanpa menghiraukan rasa putus asa yang sering datang tidak mengira masa dan waktu.
Jika terasa malas sewaktu belajar, itu juga merupakan sikap putus asa yang membawa kepada kegagalan.
Kita perlu ingat, jangan jadikan putus asa sebagai salah satu agenda dalam diari hidup kita.
Tetapi jadikan rasa inginkan kejayaan dan mengejar kepada kehidupan yang lebih bermakna sebagai matlamat kita.
Putus asa seakan musuh yang tidak kita menyedarinya. Sikap itu datang dalam keadaan spontan dan halus.
Seharusnya kita mengetahui erti putus asa.
Putus asa ialah musuh utama yang akan membawa kepada pelbagai sikap negatif lain.
Malas timbul kerana rasa putus asa. Hilang semangat juga timbul kerana putus asa.
Semuanya bermula daripada putus asa.
Jangan biarkan rasa putus asa menguasai diri kerana akan membawa kepada sikap negatif yang lain.
Ketahui sikap itu dan tanganinya. Pasti kejayaan milik kita.